Monday, December 26, 2011

DAP lebih utamakan soal kuasa




KUALA LUMPUR 25 Dis. - Kemelut kepimpinan yang melanda DAP Pulau Pinang merupakan bukti jelas bahawa parti itu lebih mengutamakan soal kuasa berbanding kebajikan rakyat.
Penasihat MCA Pulau Pinang, Datuk Koay Kar Huah berkata, rakyat negeri itu perlu mengambil iktibar daripada perkembangan tersebut bagi mengelak mereka terus ditipu pada masa depan.
''Barisan Nasional (BN) mungkin tidak sempurna malah tidak ada parti politik di dunia yang sempurna. Tetapi, BN di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melaksanakan langkah-langkah pembetulan menerusi program transformasi.
''Tetapi bagi parti-parti pembangkang apa yang dapat dilihat mereka lebih mengutamakan serangan peribadi dan meninggalkan kebajikan rakyat yang telah meletakkan mereka di tampuk kuasa hari ini,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kemelut DAP di negeri itu yang menyaksikan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh meminta Timbalan Setiausaha Agung parti itu Prof. P. Ramasamy mengundurkan diri daripada menjadi Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang.
Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, Ramasamy sepatutnya meletakkan jawatan secara rela hati disebabkan gagal mematuhi arahan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP supaya tidak membuat kenyataan terbuka mengenai parti itu dan menyerang para pemimpinnya.
Kar Huah berkata, DAP perlu mengenepikan ego dengan meletakkan kepentingan rakyat di depan contohnya dalam soal pembinaan flat kos rendah yang masih gagal dilaksanakan sejak 2008.
Sementara itu, Setiausaha MCA Pulau Pinang, Lau Chiek Tuan berkata, siasatan perlu dilakukan bagi membuktikan dakwaan Ramasamy berlaku kronisme dalam parti itu.
"Oleh kerana ia melibatkan Karpal yang meminta Ramasamy mengundurkan diri daripada menjadi Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, maka DAP seharusnya membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan siasatan pihak ketiga dilakukan secara bebas.
"Dakwaan itu juga melibatkan duit pembayar cukai. Maka DAP tidak boleh mengatakan mereka akan menyelesaikan secara dalaman dan menggunakan taktik biasa, menutup mulut dengan harapan ia dapat berlalu begitu sahaja," jelasnya.
Chiek Tuan berkata, DAP juga sepatutnya mempraktikkan amalan yang selalu digembar-gemburkan pentadbiran kerajaan Pulau Pinang melalui slogan Kompeten, Akauntabiliti serta Telus (CAT).

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment