Inilah kesan sekiranya rakyat terlalu bergantung kepada subsidi oleh sesebuah kerajaan. Ketiadaan pelabur asing untuk masuk dan melabur mengakibatkan ketiadaan pekerjaan oleh penduduknya. Apabila sesuatu keadaan pergolakan ekonomi dunia berlaku, kerajaan menjadi muflis oleh kerana ketidakupayaan untuk mengawal keseluruhan subsidi ini.
Apabila ini berlaku harga barangan naik secara mendadak dan ditambah buruk lagi dengan kadar pengangguran yang tinggi dikalangan rakyat jestru rakyat tidak mampu untuk "survive" disebabkan peningkatan harga barangan yang diluar kawalan dan inflasi yang tersangat tinggi.
Apakah kita mahu dimomokkan dengan segalanya subsidi?
KUALA LUMPUR 7 Feb. - Pergolakan di Mesir menunjukkan bahawa tindakan kerajaan memberikan atau menyogok subsidi kepada rakyat tidak boleh menjayakan ekonomi sesebuah negara.
Sebenarnya apa yang jauh lebih penting adalah kebolehan pemerintah menawarkan kemakmuran demi kelangsungan hidup rakyatnya.
Menurut Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin, apa yang dihadapi oleh kerajaan pimpinan Presiden Hosni Mubarak, membuktikan cara pemerintahan yang berbelanja banyak untuk 'menyuap makanan' kepada rakyatnya tidak mampu kekal lama.
Apa yang dilakukan kerajaan semasa Mesir hanya memberikan bebanan dan menekan rakyatnya.
''Mesir adalah sebuah negara yang begitu banyak memberikan subsidi kepada rakyatnya, ia meliputi barangan, pendidikan, makanan, perubatan, selain berbelanja tinggi untuk pertahanannya.
''Ini menyebabkan ekonomi negara itu menjadi statik kerana segala-galanya ditanggung kerajaan kerana tiada pelabur asing yang mahu melabur di Mesir,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini,
Katanya, tanpa pelaburan maka tidak wujudlah peluang pekerjaan, sekali gus menyebabkan jumlah pengangguran di Mesir semakin tinggi.
Dr. Mahani berkata, tekanan hidup akibat eko-sistem ekonomi yang luar biasa itu menyebabkan rakyat tidak mampu lagi bertahan.
''Walaupun semuanya percuma tetapi kalau pengangguran meningkat ia tidak membawa apa-apa dan inilah akibatnya keruntuhan sesebuah negara sekira ekonomi gagal ditadbir dengan cekap.
''Kesimpulan apa yang berlaku di Mesir ialah subsidi bukan penyelesaian semua masalah,''
Beliau berkata, keadaan ekonomi di Mesir bertambah teruk sejak krisis ekonomi global yang berlaku pada 2008 apatah lagi ia bukan sebuah negara pengeluar minyak.
Tambahnya, selain Tunisia dan Mesir, Yemen merupakan sebuah lagi negara yang tidak mentadbir ekonomi dengan baik, yang mana rakyat terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan.
Tambah beliau, subsidi hanya baik untuk jangka tertentu tetapi bukan bagi tempoh yang terlalu panjang.
''Dan, bukan semua perkara boleh disubsidi kecuali pendidikan dan kesihatan seperti yang dilaksanakan di Malaysia,'' ujarnya.
Ditanya tentang kenaikan harga barangan dalam pasaran yang melampau di negara ini, Dr. Mahani berpendapat, ia berlaku akibat ketidakseimbangan dalam penawaran dan permintaan.
Beliau berkata, keadaan itu berlaku ekoran peningkatan mendadak penduduk dunia yang tidak setara dengan pengeluaran makanan.
Masalah itu begitu ketara disebabkan pengeluaran barangan makanan tertentu begitu terhad di Malaysia dan perlu diimport dari negara-negara lain.
''Jadi, apabila ada masalah berlaku di negara-negara pengeluar, pengimport akan mengalami masalah bekalan.
''Masalah bekalan juga berlaku dalam penetapan kontrak jangka panjang antara pengimport dan pengeksport,'' katanya.
Berikutan itu, beliau berkata, masalah semasa yang berlaku ini boleh diatasi dengan membuat pelaburan makanan secara besar-besaran di dalam atau luar negara.
Tambahnya, kementerian tertentu juga perlu memastikan sistem agihan secara monopoli dikurangkan supaya kawalan bekalan dan harga dapat dipantau secara rapi.
Dalam aspek itu, Dr. Mahani berkata, masalah kenaikan harga barangan boleh dikawal dengan membanyakkan pasar raya besar kerana ia menawarkan harga jauh lebih rendah berbanding kedai runcit.
No comments:
Post a Comment