KUALA LUMPUR 21 Julai – Tindakan pembangkang memanipulasi video perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai lalu disifatkan sebagai satu cubaan untuk membunuh kredibiliti kerajaan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pembangkang tahu jika mereka berjaya merosakkan kredibiliti polis, maka sekali gus kredibiliti kerajaan juga akan terjejas.
“Malah mereka juga cuba merosakkan nama baik dan reputasi para pemimpin kerajaan melalui fitnah dan pendustaan serta lakonan dan politik jalanan yang semuanya tidak berjaya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan pembangkang yang memburukkan imej polis dengan mengubah video perhimpunan itu yang kononnya memaparkan polis bertindak kejam serta mengamalkan kekerasan melampau ketika kejadian.
Dalam pada itu, Rais turut mengingatkan pihak polis agar lebih tegas dalam menjalankan tuntutan undang-undang.
“Kini pembangkang merancang melalui ‘pukulan lipat’ terhadap polis namun, mujurlah polis di negara ini paling berhemah. Kalau di negara lain, belasahan sebenar akan mereka terima.
“Kerja polis bukan untuk senyum dan gosok belakang pengacau ketenteraman awam. Siapa yang tidak mengikut undang-undang akan menerima padahnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment