Tuesday, March 8, 2011

Calon Tepat Faktor Kemenangan


KUALA LUMPUR 7 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, prinsip pemilihan calon yang boleh menang adalah antara ramuan kejayaan Barisan Nasional (BN) menewaskan pihak pembangkang di dalam beberapa siri pilihan raya kecil yang diadakan sejak kebekangan ini.

Justeru Perdana Menteri berkata, prinsip itu akan dijadikan kriteria utama bagi BN kerana pemilihan calon yang tepat merupakan salah satu faktor terpenting dalam menentukan kemenangan pada setiap pilihan raya.

Selain itu beliau berkata, kemantapan jentera pilihan raya sama ada di peringkat parti komponen mahu pun sayap parti juga merupakan penyumbang kepada kejayaan BN dan yang terbaru di Merlimau dan Kerdau.

‘‘Selain daripada jentera kita apa yang selalu saya tekankan ialah calon yang boleh menang. Kita memegang kuat kriteria ini.
‘‘Oleh itu sebelum pemilihan calon dimuktamadkan saya akan berunding dengan (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Besar yang terlibat dan prinsip ini menjadi keutamaan kepada kita,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Yang Kedua Belas 2011 di Bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada faktor calon menjadi faktor utama kemenangan BN dalam beberapa siri pilihan raya kecil sejak kebelakangan ini.

Untuk rekod kejayaan BN di Merlimau dan Kerdau semalam adalah kemenangan lima kali berturut-turut selepas Parlimen Batu Sapi (November 2010), Galas (November 2010) dan Tenang (Januari 2011).

Sebelum ini Najib semasa diadakan konvensyen BN di Wisma MCA Disember lalu memberi jaminan bahawa pemilihan calon-calon BN terutama pada Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah berdasarkan pilihan serta kehendak rakyat.

No comments:

Post a Comment