Thursday, May 5, 2011

Pindah Hentian Putra ke Puduraya dikaji




KUALA LUMPUR 5 Mei – Kerajaan akan mengkaji permintaan UDA Holdings Berhad untuk memindahkan perkhidmatan bas bagi perjalanan ke Pantai Timur di Hentian Putra ke Puduraya untuk keselesaan penumpang.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Hentian Putra yang kini mengendalikan kira-kira 100 perjalanan ulang-alik ke Pantai Timur sehari, merupakan kemudahan sementara untuk penumpang ke destinasi tersebut.

"Saya difahamkan perjalanan ke arah tersebut boleh dimuatkan dan dikendalikan di Hentian Puduraya yang dilengkapi kemudahan bertaraf antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Puduraya hari ini.

Beliau berkata Puduraya juga akan siap sepenuhnya dalam masa sebulan kerana kerja menaik taraf dan pemodenan sedang dilakukan.

"Saya pernah melawat negara-negara Barat, tetapi jika dibandingkan dengan kemudahan di antara negara kita dengan mereka, Malaysia jauh lebih maju dan moden kerana ada sebahagian negara yang tidak mempunyai skrin-skrin LCD untuk butiran pelepasan dan ketibaan bas,” katanya.

Beliau juga berharap kemudahan yang disediakan di Puduraya akan dijaga dan diguna sebaiknya agar kualiti tetap terpelihara dalam jangka panjang. - Bernama

No comments:

Post a Comment