Sunday, May 8, 2011

Rampas kedudukan Islam wujud



KUALA LUMPUR 7 Mei - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin mendakwa memang wujud gerakan oleh pertubuhan agama lain untuk merampas kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Katanya, beliau menyedari kewujudan gerakan itu setahun yang lalu dan ia bergerak secara senyap dalam usaha cuba menghakis kedudukan agama Islam sedikit demi sedikit.

Katanya, perjuangan pergerakan itu berlandaskan kepada 14 tuntutan seperti yang dikemukakan oleh pihak pembangkang kepada Suruhanjaya Antara Agama (IFC).

"Saya difahamkan antara perkara yang mereka perjuangkan ketika ini adalah untuk mengkategorikan golongan di bawah 18 tahun sebagai 'tidak beragama' dan mereka hanya boleh memilih agama apabila mencapai usia tersebut.

"Alasan yang digunakan adalah bagi menyelesaikan masalah penetapan agama anak yang sering menjadi perdebatan di negara ini apabila salah seorang daripada ibu atau bapanya bukan beragama Islam.

"Selain itu, saya juga difahamkan bahawa pergerakan ini sedang berusaha untuk membolehkan persatuan agama lain 
ditubuhkan di peringkat sekolah rendah dan menengah," katanya ketika ditemui pada perhimpunan pemimpin pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia, di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, tuntutan-tuntutan tersebut akan disuarakan menerusi ahli Parlimen yang mewakili pertubuhan agama tersebut.
"Jadi, saya harap kerajaan mengambil berat perkara ini. Kita tidak menafikan hak kaum lain untuk mengamalkan fahaman serta agama mereka, tetapi jangan sekali-kali cuba mencabar Islam," katanya.

"Saya juga menyeru semua umat Islam di negara ini supaya bersatu. Kita semakin lemah dan berpecah-belah sejak akhir-akhir ini, sebab itu golongan yang dengki dengan kita, dengki dengan Islam semakin berani mengambil kesempatan," jelasnya.

pemudatg kata: Ini bukan suatu kebetulan, tetapi pastinya ianya merupakan suatu organisasi yang wujud secara senyap dan bergerak secara aggresif. Dari mana sumber kewangan ini masuk? Siapakah dalang di sebalik organisasi ini? Apakah "blue print" untuk mejayakan sesuatu agenda itu? Siasat sebelum terlambat.....

No comments:

Post a Comment