Oleh Bisik-Bisik Awang Selamat
BEBERAPA isu kebelakangan ini menyaksikan Utusan, ditekan dan difitnah oleh banyak pihak terutama DAP dan PKR. Serangan persepsi terhadap akhbar tersebut menjadi-jadi bagi membangkitkan kebencian orang ramai. Strategi tersebut sebenarnya diperhebatkan pada era pasca pilihan raya umum 2008. Landskap politik baru menjadikan pembangkang terutama parti paling rasis iaitu DAP, ke hadapan dalam rentak tari politik, lalu menyebabkan kita asyik terperangkap dalam banyak situasi.
Apatah lagi aspirasi DAP dan PKR dinyalakan dengan maraknya oleh beberapa akhbar bahasa ibunda, Malaysian Insider dan Malaysiakini. Bibit-bibit pencerobohan terhadap perlembagaan dan asas kenegaraan semakin digerakkan. Ternyata gelombang asakan itu kian kuat. Maka Utusan yang menjadi benteng mempertahankan perlembagaan, dijadikan sasaran.
Sebab itu, Awang tidak hairan jika Utusan secara berterusan dihentam dan diburuk-burukkan oleh media tertentu termasuk Sin Chew. Awang terima semuanya dengan senyuman tetapi tidak akan tunduk.
Lalu Awang teringat sebuah buku bertajuk They dare to speak out tulisan Paul Findley. Buku lama itu antara lain memaparkan bagaimana ada pihak tidak boleh ditegur walaupun apa yang mereka lakukan itu adalah salah dan berbahaya. Minoriti menjadi lebih kuat daripada majoriti. Mereka tidak boleh disentuh apalagi disanggah meskipun atas tuntutan demokrasi.
Mereka sahaja yang kononnya benar dan mesti kelihatan benar walaupun hakikatnya tidak. Rangkaian dan pengaruh mereka makin kuat hari demi hari. Apabila kita bersuara maka tindak balas mereka luar biasa. Inilah realiti yang melanda Malaysia pada hari ini.
Sampai bila kita harus membenarkan persekitaran sebegini? Persoalan itu wajar direnungkan bersama sambil mencari penyelesaiannya jika tidak mahu dihentak rasa penyesalan kemudian hari.
No comments:
Post a Comment